Sebagai usaha penjanamaan semula (re-branding) Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, mulai bulan April 2013, pihak APTK akan memperkenalkan kad pendaftaran APTK yang baru, iaitu Kad APTK. Mana-mana Pencari Kerja Tempatan yang belum berdaftar di APTK adalah dipohonkan untuk mendaftar ke APTK di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jalan James Pearce, Bandar Seri Begawan. Manakala, bagi di luar Daerah Brunei-Muara, pendaftaran boleh di buat di cawangan Jabatan Buruh di Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong.
Pihak APTK juga pada waktu ini sedang dalam usaha untuk mengemaskinikan senarai Pencari Kerja Tempatan yang berdaftar di APTK yang masih lagi aktif mencari pekerjaan, bagi memudahkan pihak APTK dan agensi-agensi yang berkenaan untuk merancang dan menyelaraskan lagi program-program dan kursus-kursus yang bersesuaian dan relevan dengan perkembangan industri waktu ini.
Kad APTK ini nanti akan mansuh enam (6) bulan setelah pendaftaran awal. Walau bagaimanapun, jika belum lagi mendapat pekerjaan, dan masih lagi ingin mencari perkerjaan, Kad APTK tersebut bolehlah diperbaharui sebelum tarikh ianya mansuh.
Manakala bagi Pencari Kerja Tempatan yang telahpun mendaftar sebelumnya, maka, ianya akan diperbaharui secara automatik oleh pihak APTK selama enam (6) bulan, iaitu sehingga penghujung bulan Oktober 2013, dan mana-mana Pencari Kerja Tempatan yang tidak memperbaharui Kad APTK setelah tarikh mansuh tersebut akan dikira sebagai tidak aktif untuk mencari pekerjaan.
Di samping itu, pihak APTK juga ingin memaklumkan kepada mana-mana majikan yang mempunyai apa jua jawatan kosong, supaya akan dapat mendaftar dan memaklumkan kepada pihak APTK mengenai kekosongan jawatan tersebut bagi proses untuk mendapatkan pekerja-pekerja tempatan.
Seterusnya menyarankan agar para majikan akan dapat memberikan sokongan dan kerjasama dalam pengambilan anak tempatan dengan memberikan peluang pekerjaan, insentif dan seterusnya agar dapat mengurangkan ketergantungan majikan kepada pekerja asing.
Borang-borang Pendaftaran bagi Pencari Kerja Tempatan dan Majikan boleh dimuat turun melalui laman web rasmi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di alamat http://www.home-affairs.gov.bn