• Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Laman Utama
Majlis Mesyuarat Negara Ke-9 Tahun 2013


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Musim Ke-9 Tahun 2013: Laporan Ringkas Mengenai Perkara-Perkara Yang Berhubung Dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada Isnin, 13 Mac 2013 (Sesi Pagi)

E-mail Print PDF

 

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri


Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk Belanjawan Tahun 2013/2014 telah diperuntukkan sebanyak $166,937,330.00 iaitu bertambah sebanyak $3,308,610.00 dari peruntukan yang lalu dan dalam kertas ini ia disebutkan menurut Tajuk-Tajuknya dari Tajuk SEo1A membawa kepada Tajuk SE12A. Peruntukan ini adalah mengambil kira perkara-perkara berikut:

1. Gaji kakitangan yang secara keseluruhannya disokong ialah sebanyak $92,776,400.00 yang mana ini adalah bagi menampung bukan saja kenaikan-kenaikan biasa tetapi juga 31 jawatan. 31 jawatan itu termasuk dalam perkiraannya jawatan secara trade off iaitu sebanyak 3 jawatan. Jadi tambahan bersihnya ialah sebanyak 31 jawatan.

i. Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan mendapat 3 jawatan tambahan;

ii. Jabatan Buruh mendapat 2 jawatan tambahan;

iii. Pejabat Daerah Tutong mendapat 2jawatan;

iv. Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bagi Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan Temburong iaitu satu Pos Kawalan Kompleks yang baru yang diketahui juga sangat sibuk dengan jumlah keluar masuk yang dicatatkan tahun lepas adalah seramai lebih daripada $1.2 juta, iaitu bertambah daripada angka pada tahun sebelumnya tahun 2011 yang berjumlah hanya $671,249.00 dengan pertambahan 53%. Pos Kawalan ini memerlukan jawatan tambahan sebanyak 6 jawatan;

v. Jabatan Penjara mendapat tambahan 1 jawatan; dan

vi. Jabatan Bomba dan Penyelamat bertambah sebanyak 20 jawatan.

2. Jawatan kosong di Kementerian ini diperuntukkan sebanyak 334 jawatan iaitu sehingga bulan September tahun lepas dan hanya diperuntukkan 6 bulan gaji sahaja, mengambil kira proses pengiklanan, temuduga dan pelantikan jawatan dalam tahun ini, jawatan-jawatan kosong tersebut tidak akan dapat diisikan.

3. Yang diambil kira seperti lazimnya ialah Perbelanjaan Berulang-Ulang yang diperuntukkan sebanyak $55,608,180.00 yang mana ini adalah bagi penambahan peruntukan, penambahan bagi Pemeliharan Aset
yang berjumlah $4.6 juta atau $4.68 juta secara tepatnya iaitu:

i. Jumlah Pemeliharaan Aset di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah sebanyak $710,000.00;

ii. Jabatan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan sebanyak $1.88juta;

iii. Lembaga Bandaran Kuala Belait sebanyak $550,000.00;

iv. Jabatan Buruh $40,000.00; dan

v. Jabatan Daerah Brunei Muara $1.5juta masing-masing.

Perbelanjaan Berulang-Ulang ini juga ialah untuk mengadakan peruntukan Pemeliharaan Sistem Komputer bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya yang secara keseluruhannya diperuntukkan $3.072 juta. Satu tambahan peruntukan dalam Perbelanjaan Berulang-Ulang ini ialah bagi Majlis Perundingan Kampung yang ditambah sebanyak $200,000.00 menjadikan jumlah sebanyak $600,000.00 yang dikawal di Jabatan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

4. Seterusnya Penambahan Peruntukan Elaun bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat sebanyak $170,000.00, dan tambahan-tambahan lain lagi di jabatan-jabatan lain elaun lebih masa, perjalanan dan sebagainya.

5. Sementara itu Perbelanjaan Khas diperuntukkan sebanyak $18,552,750.00 bagi menampung pelaksanaan 39 projek atau pembelian baru yang berjumlah $18,352,750.00 dengan harga rancangan pada tahun ini ialah sebanyak $1,024,000.00.

6. Bagi melaksanakan satu projek pengambilan semula yang berjumlah $200,000.00 dengan harga rancangan $390,000.00. Perbelanjaan Khas juga ialah bagi aktiviti perekonomian mukim dan kampung iaitu Satu Kampung Satu Produk yang mana Alhamdulillah disediakan sebanyak $750,000.00, menerima tambahan sebanyak $250,000.00 berbanding dengan peruntukan tahun lepas.

7. Peruntukan bagi peningkatan kemudahan riadah dan bersukan peringkat daerah diperuntukkan sebanyak $4 juta.Peruntukan bagi Pengurusan Bencana Alam sejumlah $5 juta ditetapkan sebagaimana tahun lepas.

8. Antara projek-projek yang akan dilaksanakan termasuklah projek bagi kerja-kerja pembaikan, pemeliharaan,pengubahsuaian dan menaik taraf bangunan dan kawasan sejumlah $4,679,300.00 dengan harga rancangan tahun ini $1,000,414.00. Projek-projek tersebut ialah di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Jabatan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan; Jabatan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria; Lembaga Bandaran Tutong, di Pejabat Daerah Brunei dan Muara iaitu bagi membina jambatan dan jalan kecil, membina gerai di Kampung Lambak Kiri,Mukim Berakas A, bagi menaik taraf Dewan Muhibbah, yang mana Dewan Muhibbah ini diketahui semakin popular bagi orang ramai untuk menggunakannya bagi majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya.

9. Demikian juga Pejabat Daerah Belait bagi menaik taraf jalan kecil di daerah tersebut diperuntukkan sebanyak $322,500.00, sementara bagi mengganti dan mengubah kemudahan-kemudahan awam diperuntukkan sebanyak $310,000.00.

10. Pejabat Daerah Tutong diperuntukkan di bawah projek-projek ini sebanyak $758,900.00. untuk membina jalan-jalan kecil sebanyak $500,000.00 dan pemeliharan kemudahan awam sebanyak $258,900.00. Sementara Pejabat Daerah Temburong menaik taraf kemudahan awam dan balai raya sebanyak $527,500.00 dengan harga rancangan $140,000.00.

11. Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan mendapat peruntukan $50,000.00 iaitu bagi khidmat penyediaan plan dan spesifikasi bagi menaik taraf, memperbaiki, mengubah suai Ibu Pejabat Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan yang mana diketahui ibu pejabat itu semakin ramai dikunjungi dan menjadikannya semakin sesak dan memerlukan pembaikan ruang-ruang pejabat dan sekitarnya.

12. Jabatan Penjara mendapat peruntukan $747,000.00. $200,00.00 ialah bagi membina bangunan baru pentadbiran dan kewangan Ibu Pejabat Penjara dan sebanyak $547,400.00 bagi menaik taraf Pusat Kawalan Sistem Pengurusan Banduan dan kamera litar tertutup (CCTV), serta institusi-institusi Jabatan Penjara.

13. Peruntukan bagi pembelian kenderaan ialah bagi menggantikan kenderaan yang sudah berumur dan juga bagi menambah kenderaan yang sedia ada.

Pada keseluruhannya, hampir kesemua jabatan mendapat peruntukannya kecuali Jabatan Daerah Brunei dan Muara. Peruntukan yang diberikan ialah sebanyak $2,163,100.00. Sementara satu peruntukan sebanyak $1,140,350.00 ialah bagi pembelian, penyewaan dan pemasangan peralatan perkakas yang mana diperlukan pada tahun ini.


Kursus dan latihan lanjutan bagi Pegawai-Pegawai dan Kakitangan yang berurusan dengan 1K1P.

Dari masa ke semasa, salah satu cara usaha untuk memperbaiki kerjaya Pegawai-pegawai dan kaki tangan yang berurusan dengan 1K1P adalah dengan memberikan bimbingan dan pimpinan kepada peserta-peserta.  Di samping itu, usaha untuk mendatangkan orang-orang yang berkemahiran dari luar negeri seperti dari Negara Jepun. Insya-Allah pada tahun ini orang-orang yang berkemahiran akan didatangkan dari Negara Thailand. Ini bagi membolehkan pegawai-pegawai yang berkenaan mengambil kesempatan untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk membawa pimpinan- pimpinan di peringkat akar umbi bagi lawatan keluar negeri dengan menyertai ekspo dan sebagainya yang ada hubung kait dengan Program Satu Kampung Satu Produk, untuk mendapatkan pendedahan yang baik.        

Pada masa ini Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sedang aktif berusaha untuk mendapatkan seorang pegawai dalam lantikan site staff yang berkemahiran dalam memimpin, membina Projek Satu Kampung Satu Produk ini.

Peranan Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.

Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung yang membantu ketua-ketua kampung dan penghulu-penghulu di peringkat Majlis Perundingan Mukim dan Kampung itu adalah memang diniatkan sebagai pemimpin-pemimpin yang bergiat sama untuk kebaikan mukim dan kampung mereka.

Mereka ini sudah dapat memahami sebenarnya untuk berkhidmat secara sukarela. Dengan memberikan imbuhan-imbuhan dan sebagainya, itu adalah satu perkara yang berbeza pada masa ini. Mengenai tempohnya itu, perkara ini dapat difikirkan mengikut yang bersesuaian. Sama ada 5 tahun itu adalah terlalu lama ataupun sebaliknya.

Nama-nama Kampung yang bersejarah.

Nama kampung yang bersejarah memang patut dipelihara. Kerana itulah dalam projek rezoning yang dilakukan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang telah siap adalah di peringkat menunggu kelulusan saja lagi, perkara ini akan diambil kira. Ertinya, nama-nama yang bersejarah itu tidak akan hilang dalam rezoning tersebut. Sekalipun zon-zon tersebut akan disebutkan dengan sebutan baru tetapi kampung insya-Allah akan tetap dikekalkan.

Satu saranan untuk rancangan bagi diadakan Kenali Kampung Kita dengan meminta mana-mana agensi yang berkenaan ataupun yang berminat untuk mengeluarkan penerbitan-penerbitan. Tapi ianya akan lebih baik sekiranya mukim dan kampung itu sendiri menerbitkan profil mukim dan kampung mereka terutama yang mempunyai sejarah tersendiri. Itu akan lebih menarik lagi, bukan saja untuk anak-anak kampungnya malahan juga untuk orang-orang di luar kampung dan daerah.

Membina Homestay (Inap Desa) di Kampong Bebuloh.

Mengenai peluang untuk membina inap desa, insya-Allah perkara ini akan dilihat kesesuaiannya. Tambahan pula ada peruntukan untuk Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.

Tempoh Kebenaran Tarian Singa Diminta Dipanjangkan.

Tarian Singa tidak ditahan ataupun diharamkan. Ia masih terus dibenarkan tertakluk kepada beberapa syarat dan keadaan-keadaan hari yang bersesuaian mengikut garis pandu bagi pertunjukan-pertunjukan dan hiburan-hiburan yang sekarang ini dipakai oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Pada tahun ini sambutan adalah selama 3 hari. Memang ianya difikirkan sesuai dan tempoh 3 hari ini dibenarkan untuk sekolah-sekolah dan rumah rumah orang kenamaan tertakluk kepada waktu-waktu yang patut diberikan perhatian. Misalnya jangan bercampur di antara waktu Solat Zohor dan Asar atau sebelum waktu Solat Zohor dan Asar dan sebagainya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pernah menasihatkan kepada pemohon-pemohon terutama sekali untuk menumpukan pertunjukan Tarian Singa di sekolah-sekolah dan di Rumah Ibadat orang-orang berbangsa Cina sahaja. Tempoh waktu kalau dapat, dilakukan di sekolah-sekolah itu lebih daripada 3 hari dan seterusnya mengikut mana-mana yang bersesuaian. Tidak ada masalah. Cuma bagi yang dilangsungkan di rumah-rumah yang lebih dari hari pertama, kedua dan ketiga itu, perlulah diambil perhatian kerana tanpa perarakan ertinya sudah menepati tidak mengganggu lalu lintas dan sebagainya. Tetapi kalau berterusan dalam beberapa hari sehingga kepada 7, 14 dan 15 hari, maka itu sudah menimbulkan gangguan kepada jiran-jiran.

Ini adalah kerana kita ini bukan saja rumah orang-orang cina terletak di perkampungan orang-orang cina, rumah orang-orang Cina juga terletak bersama-sama rumah orang-orang Melayu, orang-orang Islam dan sebagainya. Jadi, tempoh-tempoh yang ada pada masa ini adalah bersesuaian dan kita mungkin memikirkan mana-mana yang lebih sesuai dari masa ke semasa. Tetapi yang penting di sini, bahawa Tarian Singa itu dibenarkan dan dinasihatkan sebaik-baiknya diadakan di sekolah-sekolah, di Rumah Ibadat orang-orang berbangsa Cina dan di rumah-rumah orang kenamaan yang berkenaan sahaja pada tempoh yang bersesuaian pada masa ini.

Pengawalan rumah-rumah persendirian.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri tidak mengawal dan membuat penguatkuasa bagi rumah-rumah persendirian yang disewakan kepada pekerja-pekerja asing. Di bawah Akta Buruh yang dikuatkuasakan pada masa ini setiap majikan berkewajipan untuk memberikan tempat tinggal kepada pekerja-pekerja mereka tetapi penguatkuasaan sedemikian itu tidaklah begitu sampai kepada had maksimum disebabkan oleh sebilangan syarikat itu tidak berkeupayaan sepenuhnya untuk mengadakan tempat tinggal bagi buruh-buruh mereka, maka atas sebab itulah buruh-buruh ataupun pekerja-pekerja asing itu mencari tempat sendiri ataupun majikan berusaha mendapatkan rumah-rumah persendirian untuk disewa. Jadi dalam skop ini, memang kawalannya di bawah Jabatan Buruh dan memang didapati rumah-rumah persendirian itu ada yang sesuai untuk didiami dan ada yang tidak bersesuaian. Mana-mana kediaman yang tidak bersesuaian, misalnya ada kejadian di mana sebuah rumah yang sepatutnya hanya didiami oleh lapan atau di bawah sepuluh orang telah didiami lebih daripada dua puluh orang, maka pihak majikan yang berkenaan telah diambil tindakan untuk memperbaiki keadaan sedemikian. Bagi rumah-rumah persendirian mempunyai kawalan-kawalan tertentu sama ada ianya boleh disewakan atau sebaliknya.

Memberikan keutamaan dalam projek Satu Kampong Satu Produk kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di kampung-kampung atau di mukim-mukim.

Mengenai memberikan keutamaan dalam projek Satu Kampong Satu Produk kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di kampung-kampung atau di mukim-mukim berkenaan, itu memang sebahagian daripada tujuan projek Satu Kampung Satu Produk. Ianya adalah satu projek ekonomi kemasyarakatan untuk meningkatkan dan menambah pendapatan orang- orang yang ikut serta dalam projek tersebut seperti orang-orang yang kurang bernasib baik, ibu-ibu tunggal dan sebagainya yang mana mereka ini memang digalakkan menyertainya.Kaola dapat mengatakan bahawa Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung memberikan perhatian mengenai perkara ini bagi menggalakkan mereka untuk ikut serta dalam projek ini.

Mengatasi Masalah ‘Ali Baba’.

Memang usaha untuk menangani masalah ini bukan lagi setakat untuk menyedarkan orang ramai. Tetapi di samping untuk menambahkan kefahaman orang ramai dan kesedaran mengenai risiko-risikonya dalam jangka panjang bukan sahaja kepada ekonomi tetapi juga jangka panjang kepada keutuhan dan kedaulatan Negara kita pada masa akan datang.

Langkah-langkah yang praktikal dari segi peraturan-peraturan dan undang-undang yang ada pada masa ini. Kementerian sedang membuat kajian berikutan daripada persidangan yang lalu di mana dalam menggulung perbahasan dalam Dewan ini, satu kajian sekarang ini sedang dimulakan terutama sekali dengan melihat kepada lesen-lesen yang dikeluarkan iaitu yang berkaitan dengan Ali Baba dan sebagainya untuk merancang formula yang sebaik-baiknya.

Disamping mengumpulkan bahan dari segi maklumat-maklumat yang ada berdasarkan apa yang rasmi, kementerian juga mendapat maklumat-maklumat atau input daripada orang ramai sendiri kerana mereka mengatakan itulah sebahagian daripada cara pendapatan orang-orang yang berusaha untuk ikut serta dalam perkembangan ekonomi Negara iaitu dengan mendapatkan lesen dan mendapatkan kebenaran rumah atau tanah sebagai perniagaan sampingan dan mendapatkan usaha-usaha yang lain.

Penambahan pegawai di Pos Kawalan.

Memanglah dari semasa ke semasa tambahan pegawai-pegawai ini dipertimbangkan akan tetapi tambahan-tambahan itu belum dapat memenuhi keperluan. Pada masa ani ada 6 tambahan jawatan bagi Kompleks Pos Kawalan di Ujung Jalan, di Daerah Temburong, Pendaruan. Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah membuat cara dengan mengadakan secara bergilir-gilir tugas di pusat-pusat kawalan ini. Alhamdulillah, dengan sokongan daripada Kementerian Kewangan dengan membayar elaun-elaun tugas secara bergilir-gilir ini, pada masa ini ianya berjalan dengan baik dan mudah-mudahan dapat mengatasi kekurangan pegawai-pegawai di pos-pos kawalan.

Pusat Pemasaran Bagi Produk Kampung-Kampung Dan Daerah.

Pada masa ini sudah ada di kampung-kampung atau di daerah-daerah tanpa perlu menunggu ekspo-ekspo dan sebagainya. Produk-produk mereka ini sudah dipasarkan, tidak semestinya ada pusat tetapi malah mereka menerima tempahan-tempahan seperti di Daerah Belait dengan produk jusnya, dan produk ikan keringnya, di Daerah Brunei dan Muara iaitu di Mukim Serasa mereka menerima tempahan-tempahan daripada orang yang sudah mengenal dan mengetahui, dan ada produk- produk tertentu dari kampung-kampung tertentu sepertimana juga di  Mukim Kota Batu dan di Daerah Temburong. Tinggal lagi untuk mengadakan satu pusat pemasaran bagi mukim, daerah dan seterusnya pusat di peringkat bandar bolehlah kita nanti pertimbangkan mengikut kesesuaiannya dari masa ke semasa.

Peningkatan mutu Satu Kampung Satu Produk.

Mengenai pembaikan mutu, selain daripada adanya pakar ataupun pegawai yang berkenaan, langkah sudahpun dibuat iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berunding dengan agensi Kerajaan yang berkenaan dalam perkara ini iaitu Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama. Dalam pengangkatan mutu ini, telah ditubuhkan empat kumpulan kerja iaitu melihat kepada produk-produk empat kumpulan misalnya, produk makanan dan minuman, produk kraftangan dan pembuatan, produk perkhidmatan dan pelancungan dan seterusnya. Dari segi inilah nanti, mereka akan melihat bagaimana pengangkatan mutu itu dapat dilakukan.

Membina Dewan Kemasyarakatan di Mukim Lumapas.

Mukim Lumapas itu kebetulan ada satu kompleks yang pada masa ini di bawah kawalan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu kompleks sukan dengan dewannya dinamakan Sungai Kebun tetapi letaknya di Sungai Manjalin sebenarnya. Jadi, mereka bolehlah menggunakan dewan tersebut dari semasa ke semasa dan pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga berkenaan tidak menghalang penggunaannya dengan sebaik-baiknya.

Peruntukan untuk mengganti dan mengubah suai kemudahan-kemudahan awam di Kuala Belait.

Satu lagi kemungkinan untuk membiayai atau membelanjai usaha memperbaiki itu mungkin juga didapatkan daripada peruntukan-peruntukan yang lain, umpamanya kalau balai raya ini ada hubungannya dengan kegiatan-kegiatan riadah dan sebagainya, jadi ada peruntukan di bawah Peruntukan Riadah yang dapat digunakan dan di penghujung pembentangan tadi kaola menekankan iaitu dalam menerima peruntukan sejumlah $166 juta ini Kementerian akan menekankan kepada semua jabatan, semua bahagian dan semua unit yang berkenaan yang mempunyai projek-projek supaya menggunakan peruntukan ini pada Tahun Kewangan ini juga dengan tidak bertangguh-tangguh.

Jadi itu sebagai satu pernyataan mengingatkan kepada semua jajaran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang berkenaan dengan projek-projek supaya menyegerakan projek-projek mereka dan menyiapkannya dalam tahun ini juga dengan menggunakan peruntukan yang ada.

Projek jambatan penghubung menyeberang Sungai Pendaruan Ujung Jalan, Daerah Temburong.

Mengenai mempercepatkan proses keluar masuk itu sudah ada usaha yang dinyatakan. Dalam keadaan memang sesak, musim-musim tertentu, musim percutian dan sebagainya usaha dilakukan dan masih juga tidak cepat daripada biasa prosesnya itu. Dalam keadaan sesak usaha dilakukan masih juga tidak cepat dan memang di luar jangkaan biasa maka orang ramai tolonglah sama-sama memahami keadaan ini.

Mencantikkan Bandar Seri Begawan.

Mengenai menjadi tuan rumah kepada persidangan antarabangsa yang akan datang dan persidangan serantau iaitu ASEAN SUMMIT dan juga Asian Inter-Parliamentary Assembly (AIPA). Tapi bandar ini satu perkara yang mesti diingat bukan saja bangunan-bangunannya adalah bangunan Kerajaan tetapi kebanyakannya adalah bangunan-bangunan persendirian.

Dari segi usaha Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, usaha berterusan dilakukan antaranya arahan-arahan di bawah peraturan-peraturan yang sedia ada bukan semata-mata kerana untuk menjadi tuan rumah saja. Ini yang berterusan supaya bangunan-bangunan itu dicat, mana yang memerlukan pembaikan diperbaiki dan pihak Kerajaan sendiri pun diminta untuk mencontohkan, kerana itu diadakan kempen-kempen kebersihan, kempen-kempen mencantikkan, kempen-kempen green Bandar Seri Begawan. Jalan-jalan raya dihiasi dengan hiasan bunga-bunga dan lanskap. yang juga tidak kalah daripada pemandangan yang kita lihat dengan diluar negeri.

Adalah diseru kepada orang ramai terutama sekali pemilik-pemilik bangunan persendirian untuk melihat keperluan memperindahkan Bandar Seri Begawan ini dari masa ke semasa khususnya ia akan menjadi tempat bagi persidangan-persidangan serantau pada tahun ini dan seterusnya memperbaiki dan mengecat bangunan-bangunan mereka mengikut kesesuaiannya.

Gerai Payung.

Ada pun mengenai Gerai Payung ini sebagaimana yang dinyatakan pada persidangan-persidangan yang lalu bernama Gerai Payung sekarang ini namanya sebenarnya ialah Pasar Tamu Gadong. Projek ini dibuat dan siap pada tahun lepas tujuannya ialah untuk memindahkan gerai di Sungai Kianggeh tetapi bila sudah dalam proses ia dibuat dan proses untuk berunding dengan peniaga-peniaga di Gerai Kianggeh mereka tidak mahu berpindah. Jadi itulah yang menjadi satu soal.

Apabila sudah ia siap maka ia ditawarkan kepada peniaga-peniaga gerai malam yang pada masa dulu didepannya dengan menggunakan khemah. Dan mereka juga menyatakan tidak sesuai kerana ia berpayung dan tidak menutup daripada panas dan hujan. Jadi Jabatan Bandaran mengikhtiarkan dengan menambah sebagaimana keadaannya sekarang ini. Dan ia pun ditawarkan kepada penamu-penamu yang berminat untuk berniaga.

Jadi perniagaan itu sebahagian mereka telah mengambil tetapi apabila mereka sudah mengambil masuk ke sana setelah dirasmikan ianya kurang mendapat sambutan dan mereka kemudiannya perlahan-perlahan berundur. Maka setelah disiasat mengapa mereka itu berundur kerana alasan mereka kalau berjual makanan tidak dapat memasak. Jadi diikhtiarkan kalau memasak di sana tidak sesuai maka dibangunkan tempat memasak. Bagaimanapun, usaha KHEDN pada masa ini ialah memikirkan untuk mensynergykannya, kerana kawasan itu agak terpencil, apabila gerai malam yang berkhemah itu dipindahkan ke sebelah pasar sana. Iaitu pemindahan itu adalah pemindahan yang strategik bagi memelihara keadaan kecantikan kawasan pasar apabila dilihat daripada lebuh raya dan Alhamdulillah tidak nampak ada khemah-khemah dari lebuh raya. Jadi oleh kerana pemindahan kawasan tamu gerai malam ini semakin popular maka yang di sebelah kawasan pasar yang berpayung ini semakin tidak popular, jadi tidak ramai pengunjungnya. Maka ada pemikiran dan usaha untuk mensynergykan perkara ini. Ertinya untuk tidak memindahkan ke semua peniaga-peniaga gerai malam itu ke tempat berpayung dan membuat tambahan lagi di kawasan lapang, umpamanya penamu-penamu di gerai malam yang menjual jualan-jualan masak-masakan iaitu kuih muih dan lauk pauk supaya dipindahkan ke dalam kawasan Gerai Payung ini. Bukan mereka sahaja di gerai payung tetapi barangkali dikawasan itu untuk menarik orang ramai ke sana bersama-sama bagi meramaikan gerai payung ini. Itulah salah satu daripada pilihan-pilihan yang disediakan. Pihak KHEDN akan berunding dengan stakeho/ders dan inilah yang memberikan tekanan kepada kerajaan untuk melakukan apa-apa tindakan.

City Plaza.

Bangunan tersebut telah diambil alih oleh sebuah bank dan bank berkenaan telah berusaha untuk mendapatkan pemaju bagi meneruskan projek tersebut dan usaha juga telah dilakukan untuk memindah milik tanah. Jabatan Bandaran telah dimaklumkan bahawa permohonan pemindah milik tanah tidak dibenarkan, maka setakat ini bangunan tersebut sedemikian itulah keadaannya dan Jabatan Bandaran dibawah undang-undang yang ada tidak mempunyai kuasa misalnya untuk meroboh dan sebagainya atau mengambil alih. Perkara ini bagaimanapun telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat.

 

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Musim Ke-9 Tahun 2013: Laporan Ringkas Mengenai Perkara-Perkara Yang Berhubung Dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada Isnin, 13 Mac 2013 (Sesi Petang)

E-mail Print PDF

 

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri


Tindakan dan perancangan mengenai kawasan Kampung Sungai Kedayan yang ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan air yang menyebabkan sampah sarap terdampar di tepi-tepi kawasan Lagun Masjid Omar `Ali Saifuddien yang menjadi landmark Negara Brunei Darussalam.

Kawasan kebakaran itu memang di bawah bidang Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan ataupun kalau di air ia termasuk Jabatan Daerah Brunei dan Muara. Kawasan di perkampungan atau kawasan Mukim Sungai Kedayan adalah termasuk dalam Pelan Induk Pembangunan Semula Bandar Seri Begawan. Kemudian rancangan yang ada dilaksanakan pada masa ini ialah Mukim Sungai Kedayan, perumahan-perumahannya yang tidak teratur dirancangkan oleh pihak perumahan di bawah Rancangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk memindahkan mereka itu mana-mana yang layak di bawah Skim Perumahan Di Kawasan Kampung Katok A dan projek itu sedang berjalan pada masa ini.

Perkembangan arus pembangunan iaitu pembinaan beberapa Dewan Serbaguna untuk Mukim Daerah Tutong Zon 1.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan melihat sebagaimana projek itu telah pun diluluskan mengikut maklumat yang disampaikan dan juga perkara-perkara yang menghalang untuk ianya dilaksanakan.

Sudah hampir 10 tahun cadangan untuk membuat dewan sehingga sekarang belum ada kelihatan, planning ada wajahnya tidak kelihatan. Majlis mesyuarat penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung untuk mendapatkan sebuah dewan di Mukim Berakas A sudah diadakan dan berharap agar sebuah dewan ada dalam peruntukan 2013/2014, mungkin peruntukan 2014/2015 untuk kegunaan Mukim.

Perbezaan Dewan Kemasyarakatan dan Dewan Serbaguna Daerah Tutong dengan Daerah Brunei dan Muara, bagi Daerah Tutong memang kekurangan kemudahan-kemudahan dewan yang terbuka, selain daripada di Pekan Tutong ada dewan besar dan dewan sekolah.  Daerah Brunei dan Muara khususnya di kawasan Berakas A dan Berakas B masih berhampiran dengan dewan terkecuali Dewan Sekolah, memang ada beberapa dewan-dewan kemasyarakatan seperti di Perpindahan Lambak ada dua buah dan Jabatan Daerah terdapat Dewan Muhibbah.

Satu contoh yang dapat diupayakan misalnya keperluan di Dewan Kampong Air yang begitu sulit bagi mendapatkan dewan untuk berhimpun, maka diusahakanlah satu Dewan Serbaguna di Kampong Air pada masa ini iaitu bangunan Sekolah Dato Ahmad yang terbakar di Kampong Burung Pinggai dan dengan kebenaran Kementerian Pendidikan serta dengan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Kerja Raya yang mengatakan bekas tiang-tiang itu masih selamat digunakan. Pada masa ini, ianya sedang dibina ataupun dijadikan tapak Dewan Kemasyarakatan. Masalahnya adalah masalah keutamaan. Masalah untuk kegunaan setakat ini di kawasan Berakas boleh ditampung.

Keperluan Dewan Serbaguna di Kampung Mumong.

Memang ada sudah dalam perancangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada masa-masa yang lalu dan masih juga pada masa ini akan ada setiap mukim dengan dewannya. Jadi dalam pelaksanaannya, supaya perkara mengenainya difahami. Sebahagian kawasan-kawasan terutama sekali di kawasan perumahan baharu memang ada diperuntukkan dewan kemasyarakatan atau dewan sebagainya, sebagaimana yang disebutkan tadi di Perpindahaan Kampung Lambak Kanan. Di kawasan-kawasan perumahan yang lain ada peruntukan sedemikian. Hanya isu yang timbul ialah sama ada dibangunkan atau tidak, tergantung kepada prioritinya.

Peruntukan Khas bagi kemudahan membeli peralatan pentadbiran di kalangan penghulu-penghulu mukim dan ketua- ketua kampung seluruh Negara.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri belum dapat memberikan peruntukan khas kepada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampong bagi pembelian peralatan-peralatan. Walau bagaimanapun, bagi kegunaan mengatasi kesulitan, untuk perbelanjaan peralatan yang digunakan bagi mesyuarat-mesyuarat, apabila diketahui tidak dapat ditampung oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara, maka dipersilakan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung datang ke Kementerian untuk berunding mengenai perkara tersebut untuk mendapatkan bantuan membeli peralatan sedemikian.

Adakah peruntukan disediakan bagi kemudahan-kemudahan riadah dan dewan kemasyarakatan itu di dalam Anggaran Belanjawan Tahunan?

Kemudahan riadah itu adalah lain, yang mana peruntukan itu baru diperkenankan sejak 3 tahun lalu. Peruntukan untuk membangun dewan-dewan kemasyarakatan sebenarnya ada peruntukan khusus kalau mahu diadakan. Seperti halnya dengan mukim yang disebutkan tadi Mukim Tutong memang sudah ada. Kemajuannya pada masa ini pun memang yang terakhir. Ada taklimat yang diberikan oleh Jabatan Kerja Raya mengenai pembangunannya dan pembangunan yang lain-lain di Daerah Tutong. Jadi peruntukan riadah bukan termasuk di mukim-mukim itu.


Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan


Pengubahsaian, pembisaian jalan-jalan di kawasan kompleks perniagaan di Kiulap, batu Satu dan kawasan-kawasan baru termasuk Mukim Gadong.

Pengubahsaian, pembisaian jalan-jalan di kawasan kompleks perniagaan di Kiulap, batu Satu dan kawasan-kawasan baru termasuk Mukim Gadong adalah tanggungjawan pemilik untuk memelihara keadaannya. Walau bagaimanapun Jabatan Bandaran sentiasa memberikan ingatan kepada pemilik-pemilik untuk memperbaiki keadaan di kawasan sedemikian. Mengenai dengan sampah sarap akan dikenakan mengikut akta dan dikompaun dan sebagainya.

Pekerja Atendan Letak Kereta.

Mengenai Pekerja Atendan dengan adanya tempat letak kereta itu diswastakan, bagaimanapun mereka ini tidak akan diberhentikan kerja. Mereka masih lagi akan bekerja, akan tetapi jika mereka ini bergaji hari barangkali ada permasalahan sedikit untuk mencarikan mereka kerja yang sesuai di Jabatan Bandaran. Tapi kalau mereka bergaji bulan dan sebagainya tidak ada masalah.


Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Pekan Seria


Kemudahan Tamu di Kuala Belait.

Penamu-penamu yang asal berpindah ke suatu kawasan dan kawasan itu pula kurang sesuai bagi mereka dan pengunjung-pengunjung.

Model Tamu di Daerah Tutong.

Mengenai dengan model tamu di Daerah Tutong memang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berfikir agar dapat dibangunkan juga di kawasan Gadong menggantikan Pasar Tamu Malam akan tetapi buat masa ini hanya dalam peringkat pengajian selanjutnya bukan saja dari segi perbelanjaan malah juga dari segi kesesuaiannya untuk kawasan itu.


Lembaga Bandaran Tutong


Gerai makan malam di Pekan Tutong.

Gerai makan yang baru itu telah siap. Dari segi perancangannya memang ianya sudah sempurna kerana itu adalah bentuknya yang sebenarnya. Atapnya itu bagi mengatap bahagian lantai, jadi bahagian di atas itu menjadi atap kepada bahagian yang di bawah. Sementara lantai di atas ini terbuka. Itu adalah konsepnya. Bagaimanapun, oleh kerana bentuk tersebut dilihat tidak cantik dipandang mata, maka cadangan untuk mendapatkan peruntukan dialu-alukan dan mengambil maklum mengenai perkara ini.

Cadangan Tapak Gerai Ramadan Daerah Tutong dikekalkan dan dinaiktaraf.

Mengenai Tapak Gerai Ramadhan, isu yang dibangkitkan bukan untuk mengekalkan Gerai Ramadhan kerana Gerai Ramadhan ini bermusim dan perlu dinaik taraf bagi kegunaan Tapak Gerai Ramadhan. Perkara untuk menaik taraf bagi kegunaan- kegunaan yang dinyatakan diambil perhatian.

Cadangan untuk meluaskan kawasan Bandaran Daerah Tutong.

Mengenai perluasan kawasan Bandaran Tutong yang ada pada masa ini apa yang diketahui kawasan itu bukan sahaja agak sempit dan memang kecil kawasannya. Kalau dikira dari segi persegi kiiometernya cuma setakat 0.024 kilometer. Jadi memang ada perancangan untuk membesarkan.

Rancangan untuk membesarkan Pekan Tutong memang sudah lama seperti yang disebutkan pada tahun 1989 dan aktif dilakukan dalam masa lima ke enam tahun yang terakhir dan masih aktif dalam masa sekarang ini. Cadangan dari Lembaga Bandaran Tutong sudah dihadapkan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu untuk membesarkannya secara radius, 62 kali ganda besarnya daripada kawasan yang ada pada masa ini iaitu hampir empat belas ke lima belas persegi. Namun masih menjadi persoalan adakah cadangan itu realistic atau tiidak, justeru Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri meminta supaya perkara ini diteliti semula melibatkan beberapa kampong sehingga Kampung Penanjong atau Cuma membesarkan Pekan Tutong sehingga ke kawasan Bukit Bendera.

Kadar bayaran cukai yang ada pada masa ini perlu dikaji semula dengan menggunakan kadar cukai yang bersesuaian.

Mengenai kadar bayaran cukai bagi Lembaga Bandaran Tutong dan kadar bayaran cukai untuk semua daerah adalah dalam penelitian Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Fomula-fomulanya sudahpun diputuskan di peringkat Kementerian. Kementerian juga ingin membuat perundingan bersama agensi-agensi yang bersifat ekonomi, kewangan dan pembangunan untuk memuktamadkan cadangan itu sebelum ianya dipohonkan untuk mendapatkan kelulusan mengenai kaedah cukai dan termasuklah kadar-kadarnya.

Cadangan supaya kerja-kerja pemeliharaan di kawasan bandaran Tutong dikendalikan oleh sebuah agensi sahaja iaitu Lembaga Bandaran Tutong.

Mengenai kawalan kebersihan penyeliaan kebersihan dan kecantikan Bandar Tutong yang dikendalikan oleh dua agensi sama ada di Bandar Seri Begawan dan ini tinggal lagi bagaimana untuk mensejajarkan dalam tugas-tugas mereka. Pensejajaran ini adalah penting dan masalah ini tidaklah begitu berat apabila kedua-dua agensi dapat menyelaraskan tugas-tugas tetapi mereka juga mengendalikan kebersihan dan kecantikan Bandaran Tutong itu.

Kedai lama di Sungai Tutong dicat baru agar Nampak bersih dan cantik.

Bangunan itu ialah bangunan private, maka diseru supaya pemilik-pemiliknya mengambil inisiatif dalam mengindahkan bangunan masing-masing. Jabatan Bandaran Tutong berusaha membuat perjumpaan dan memberikan arahan-arahan tertentu mengenai perkara ini.

Letak kereta di gerai malam dan bangunan Taman Selera.

Berhubung dengan tempat letak kereta supaya disarankan ianya diletakkan di depan kedai. Dengan itu menghendaki perubahan jalan raya dan jalan umum untuk Iencongan ke kawasan Tebing Sungai. Perkara ini melibatkan bukan saja agensi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Lembaga Bandaran Tutong tetapi juga agensi-agensi lain.

Jabatan Buruh


Tahap kedudukan pengangguran di keseluruhan negara pada masa ini.

Mereka yang belum mempunyai pekerjaan untuk berhubung dengan Jabatan Buruh unutk mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang pekerjaan kerana terdapat majikan yang memberikan peluang latihan yang bersesuaian dengan pencapaian akademik warga negara ini. Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE) memberikan peluang latihan bersama majikan dan dalam skim itu pelatih akan diberikan gaji dan elaun berjumlah 35 peratus dari majikan dan 65 peratus dari kerajaan bagi menangani isu pengagngguran di negara ini.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada masa ini dalam membuat kajian berhubung dengan keperluan untuk memberikan pekerjaan kepada anak-anak tempatan terutama sekali dengan melihat daerah, mukim dan kampung di mana terdapat dalam daerah, mukim dan kampung itu ada mempunyai establishment perniagaan yang masih menggunakan sama ada sepenuhnya pekerja asing atau sebahagiannya.

Jika pengangguran itu diambil angka yang berdaftar memang sedikit. Tetapi jika jumlah pengangguran itu diambil daripada angka statistik penduduk yang baru selesai pada tahun 2011 yang lalu ianya adalah mengkhuatirkan. Jadi hal-hal seperti inilah yang sangat diberikan perhatian oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yangmana perkara-perkara ini ada hubungannya dengan kesejahteraan masyarakat dan juga ada hubungan dari segi kuatkuasa undang-undang iaitu Imigresen dan Buruh.

Umpamanya dari segi kedai runcit sahaja, di Daerah Temburong sebenarnya lesen yang ada ialah 42% manakala pekerja tempatan adalah tinggi dalam 66% dan seperti juga di Daerah Tutong. Tetapi daerah-daerah seperti Daerah Brunei dan Muara adalah masih rendah iaitu sebanyak 37%. Sini akan melihat sejauh mana orang-orang yang mencari pekerjaan atau orang-orang yang menganggur yang belum mendaftar tetapi akan digalakkan untuk dapat bekerja dalam establishment kedai runcit di seluruh negara.

Adakah petugas penarik kereta termasuk dalam senarai pekerjaan didaftarkan dalam Jabatan Buruh?

Jawapannya ringkas sahaja iaitu tidak. Ertinya mereka lakukan itu sebagai freelancer dan sebagainya seperti kegiatan biasa tetapi tidak berdaftar dan tidak menghendaki pendaftaran. Masalah yang berbangkit kepada orang ramai dalam perkara itu di ambil maklum macamana cara-cara pengawalan ke atasnya.

Isu pengambilan pembantu rumah.

Isu-isu pembantu rumah adalah suatu yang sering diperkatakan dan oleh itulah beberapa akta dikuatkuasakan kerana ia berperanan untuk melindungi warga asing yang bekerja di negara ini. Sejauh ini, aduan-aduan yang berhubung dengan agensi pekerjaan yang berlesen adalah sedikit dibandingkan dengan aduan agensi pekerjaan yang tidak berlesen. Umpamanya dalam 123 kes yang diadukan kepada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei dan pihak Jabatan Buruh, hanya 6 kes iaitu 5% aduan-aduan berhubung dengan ketidakpuasan ataupun salah urus agensi pekerjaan yang berlesen. Sementara selebihnya 95% aduan itu mengenai agensi-agensi yang tidak berlesen. Di sini orang ramai masih berlanggan kepada agensi yang tidak berlesen yang menyebabkan mereka menghadapi risiko-risiko. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Buruh ingin menasihatkan supaya orang ramai mengikut urusan untuk mendapatkan amah dengan agensi-agensi yang berlesen untuk mengurangkan risiko ini, kerana agensi-agensi yang berlesen apabila ada aduan seperti ini mereka itu akan mudah diambil tindakan dan isu-isu yang berbangkit mudah diselesaikan.

Adapun mengenai agensi-agensi yang tidak berlesen, ini sulit sekali bagi pihak Kerajaan untuk mengambil tindakan. Oleh kerana antara bakal majikan dengan agensi yang tidak berlesen ini tidak ada satu dokumen-dokumen yang boleh menjadi sebab bagi tindakan-tindakan. Pertama, mereka ini tidak mempunyai pejabat untuk dirujuk malah urusan antara majikan dengan agensi sedemikian itu mengikut laporan salah satu daripada majikan yang tidak puas hati kepada pihak Polis. Urusan yang dilakukannya itu adalah di stesen bas. Sedangkan dalam peraturan-peraturan untuk mendatangkan pekerja termasuklah amah ialah mesti ada huraian tugas iaitu keperluan kepada tenaga kerja itu. Kemudian ada lagi kontrak di antara majikan dengan agensi. Perkara yang sedemikian ini tidak ada dibuat dengan agensi-agensi yang tidak berlesen. Risikonya adalah sangat tinggi, kerana itulah. Perkara itu berjaya di atasi jika mereka berurusan dengan agensi yang berlesen.

Isu kesukaran bagi mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan pembantu rumah dan perbuatan menaikkan bayaran oleh agen pembantu rumah.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan buruh telah membuat Caj ‘Ceiling’ bagi mendatangkan pembantu rumah.  Tetapi dalam kajian-kajian awal kalaupun diadakan peraturan ceiling ini, tidak juga banyak membantu untuk menurunkan kadarnya kerana bayaran yang tinggi itu adalah dikenakan oleh agensi pekerjaan luar negeri di tempat negeri mereka itu sendiri.

Umpamanya ada empat syarikat sebagai contoh:

1) Syarikat A untuk pengambilan amah Indonesia dan Filipina bayaran agensi pekerjaan di Brunei $600.00, agensi pekerjaan luar negeri $1,800.00, jadi jumlah yang dikenakan $2,400.00: dan

2) Agensi B juga untuk mendatangkan amah Indonesia dan Filipina, mengenakan bayaran untuk Indonesia $900.00, untuk Filipina $1,300.00 iaitu agensi pekerjaan dalam negeri dan bayaran kepada agensi di luar negeri iaitu rakan sejawat mereka ialah sebanyak $1,700.00 bagi Indonesia $1,500.00 bagi Filipina. Begitulah seterusnya, pendek kata bayaran agensi pekerjaan luar negeri adalah tinggi.

Soalnya mengapa mesti beragensi di luar negeri dan mengapa mesti dibebankan dengan hal yang sedemikian itu, ini adalah kerana keperluan dari segi pekerja-pekerja asing yang dimasukkan ke dalam negeri. Negeri yang menghantarnya menghendaki sedemikian itu prosedurnya. Ertinya rakyat mereka ke luar negeri tidak sewenang-wenang dan kalau apa-apa terjadi mereka dapat melindunginya, maka recruitment di dalam negeri mereka terlebih dahulu mereka lakukan dan maknanya secara rasmi Kerajaan hendaklah mengikuti juga peraturan-peraturan sedemikian itu. Ini satu amalan yang biasa dilakukan.

Memang ada khususnya mengenai amah ini boleh diambil sendiri terutama sekali orang yang sudah bekerja di rumah kita walaupun adanya saudara maranya, suaminya juga boleh diambil bekerja sebagai pembantu rumah. Perkara itu mudah dan perbelanjaannya yang mengikut peraturan yang ada pada masa ini tidak mengizinkan, akan tetapi perkara itu boleh dibincangkan bersama agensi pekerjaan yang menguruskan perkara itu dengan Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan untuk mendatangkan mereka ini. Mengenai caj-cajnya bolehlah mereka berunding untuk mengurangkannya.

Tetapi yang nyatanya ialah kerana semata-mata untuk merendahkan bayaran-bayaran bagi pengambilan amah ini, maka orang ramai masih lagi cenderung untuk berurusan sendiri dan akibatnya ialah apabila terjadinya perkara yang tidak diingini bukan sahaja kepada majikan, amah dan sebagainya, tanggungjawab dari segi undang-undang adalah sulit untuk dikenakan.

Akta ini baru berkuatkuasa dalam setahun. Dalam transaction period ini memang menghadapi berbagai masalah-masalah. Kalau sudah ia berjalan sekian lama, proses itu akan cuba memperbaiki di mana-mana yang bersesuaian seperti untuk mengadakan ceiling charges ini dan dari segi Akta Perburuhan pada masa ini, tidak ada kebenaran atau pekerjaan sedemikian. Dan disebabkan itulah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan berunding dengan Jabatan Peguam Negara untuk melihat di mana kesesuaiannya untuk menambah atau meminda Akta yang berkenaan.

Mengenai dengan kadar gaji, jika benar sedemikian itu ditetapkan oleh Jabatan Buruh kemudian diubah oleh agensi pekerjaan maka ini adalah satu kes untuk diadukan.

Pembantu di luar rumah seperti penjaga restoran, penjaga gerai-gerai makan, adakah memang sudah ditentukan oleh Jabatan Buruh atau belum?

Kalau pembantu rumah memang kuotanya lesen pembantu rumah, kalau pembantu rumah tersebut bekerja untuk jawatan-jawatan lain dan tugas-tugas lain maka itu namanya penyalahgunaan lesen. Dalam kes ini, operasi yang dibuat oleh Jabatan Buruh pada tahun lepas, dari 700 operasi telah mendapati sebanyak 128 kesalahan penyalahgunaan lesen. Tindakan-tindakan yang diambil adalah; 81 kuota telah dikurangkan. Misalnya, kalau ianya diberikan beberapa kuota tetapi majikan tersebut menyalahgunakan lesennya maka setakat lesen yang digunakan itu telah dikurangkan. Selain daripada itu, boleh ditutup atau ditarik semula lesen tetapi Jabatan Buruh juga bertimbang rasa bagi orang yang berniaga dan sebagainya. Oleh yang demikian, daripada 81 kes yang kuota telah dikurangkan sebanyak 18 lesen telah dibatalkan dan 1 lagi kes dibawa ke Mahkamah. Penyalahgunaan lesen adalah diambil tindakan, tinggal lagi macamana kedapatan atau tidak kedapatan itu masalah penguatkuasaan dari masa ke semasa.

Cadangan supaya perkhidmatan pembantu rumah ini dipanjangkan dari 2 tahun kepada 3 tahun memandangkan pengambilan pembantu rumah dengan agen-agen pada masa ini terlalu mahal.

Pada dasarnya pada masa ini adalah 2 tahun untuk dipanjangkan sedang dibuat.  

Last Updated on Saturday, 23 March 2013 15:12
 


Galeri