• Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Laman Utama

Majlis Tedarus Dan Ceramah Tafsir Al-Quran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Ke Daerah-Daerah Bersama Majlis Perundingan Mukim Dan Kampung Bagi Daerah Belait

E-mail Print PDF

SERIA, BELAIT 11 OGOS- Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman serta Rombongan telah hadir di Majlis Tedarus Dan Ceramah Tafsir Al-Quran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Ke Daerah-Daerah Bersama Majlis Perundingan Mukim Dan Kampung bagi Daerah Belait pada Khamis, 10 Ramadan 1432H bersamaan 11 Ogos 2011M bertempat di Masjid Lorong 3 Selatan Seria, Belait.

Majlis ini dikendalikan bersama oleh Majlis Perundingan Mukim Seria dengan kerjasama .Jabatan Daerah Belait, Jabatan Bandaran Kuala Belait Dan Seria, Jabatan Buruh (Cawangan Daerah Belait) serta  Jawatankuasa Takmir Masjid Lorong 3 Selatan Seria.

Majlis yang diadakan ini adalah program tahunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi merapatkan hubungan silaturahim dan juga mengaktifkan lagi interaksi hubungan kerja antara Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung serta pemimpin akar umbi bersama-sama pucuk pimpinan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pegawai dan Kakitangan kementerian dan jabatan-jabatannya dan pelbagai pihak berkepentingan (yakni stakeholders) serta masyarakat mukim dan kampung termasuk golongan belia dan remaja di daerah-daerah berkenaan.

Majlis ini adalah sebahagian daripada pelbagai aktiviti yang telah dijalankan secara berterusan ke arah mengukuhkan hubungan baik yang sudah sedia terjalin dengan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta penduduk-penduduk sekitarnya khususnya lawatan-lawatan kerja Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Pegawai-Pegawai ke Mukim-Mukim dan Kampung-Kampung.

Acara Tedarus adalah juga merupakan kesinambungan majlis yang telah diadakan pada tahun-tahun lalu dan ia adalah salah satu aktiviti untuk menghidupkan dan menyemarakkan syiar  Bulan Suci Ramadan Al-Mubarak.

Manakala Acara Ceramah Tafsir Tedarus Al-Quran Sempena Bulan Ramadan pula telah mula diadakan pada Ramadan tahun lepas dan ceramah disampaikan sendiri oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Di samping itu majlis juga diadakan bagi tujuan meningkatkan amal ibadah di bulan  puasa ke arah mendokong hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Majlis yang berbentuk interaksi kemasyarakatan ini adalah juga bagi bersama-sama memohon keredhaan, rahmat dan berkat daripada Allah Subhanahu Wataala yang mana ia merupakan wadah perpaduan yang berpaksikan budaya ilmu pada menjulang tinggi nilai-nilai sosial yang murni dalam kehidupan beragama, berbangsa, bernegara, berpemerintahan dan beraja masyarakat Brunei.

Majlis diadakan sebagai salah satu kegiatan kementerian yang dipakej dan mengetengahkan program budaya ilmu masyarakat Brunei yang bersignifikan pada terus menerus mewujud dan mengekalkan negara aman makmur yang mendapat keampunan Allah Subhanahu Wataala (yakni Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur) serta membesarkan syiar Islam bagi mendokong usaha ke arah memicu dan memperkasa budaya ilmu di kalangan masyarakat mukim dan kampung di negara ini.

Majlis telah bermula pada pukul 4.30 petang selepas Sembahyang Fardhu Asar berjemaah.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman Majlis merasmikan majlis  dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.
 
Sejurus selepas itu, acara Tedarus Al-Quran pun bermula dengan pembaca-pembaca bergilir-gilir membaca Al-Quran yang mana didengar dan ditasmik oleh hadirin yang lain. 

Menyusul selepas itu ialah acara utama iaitu Acara Ceramah Tafsir Tedarus Al-Quran Sempena Bulan Ramadan 1432H/ 2011M disampaikan sendiri oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Acara Ceramah Tafsir Tedarus Al-Quran adalah tumpuan utama majlis di mana isi kandungan Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah dari Ayat 30 hingga 39 bagi ke empat-empat daerah dikupas dan dihuraikan. Setelah itu signifikan dan nilai-nilai pengajarannya dikongsi serta dihubungkaitkan dengan keperluan kehidupan harian masyarakat dan ummah pada masa kini.

Ayat 35 dan 36 menyatakan Allah Subhanahu wa Ta’ala  memberikan penghormatan kepada Adam dan isterinya Hawa dengan menempatkan mereka di syurga yang tersedia dengan serba kemudahan dan keistimewaan. Syaitan dengki dan memusuhi mereka lalu menyesatkan mereka sehingga menyebabkan mereka dikeluarkan dari syurga dan diperintahkan turun ke bumi.

Ayat 35 menyatakan bahawa Ulama berselisih pendapat mengenai di mana syurga itu, adakah di langit atau di bumi.  Bagaimanapun Syurga yang disebutkan oleh Allah dalam konteks ayat ini dan ayat-ayat yang berkaitan adalah syurga kediaman sementara Adam dan Hawa  bahkan juga iblis  turut berada di dalamnya sebelum ia di usir daripadanya. Bahawasanya kita meyakini  tempat yang bernama syurga  itu tetap ada, baik pun syurga kediaman sementara Adam dan Hawa  atau syurga  yang lawannya neraka. Dan kesemuanya itu sedia dalam liputan ilmu serta kekuasaan Allah Subahanahu wa Ta’ala.


Ayat 36 diakhiri dengan firman Allah Subahanahu wa Ta’ala memerintahkan Adam dan isterinya dan juga syaitan (iblis) turun (ditafsirnya turun ke bumi) dengan peringatan ”sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain.”  Itulah peringatan Allah kepada Adam dan Hawa ketika mereka diperintahkan turun ke bumi. Peringatan itu disisipkan kesah Adam dan Hawa, nenek moyang manusia.

Signifikan dari Acara Ceramah Tafsir Tedarus Al-Quran ini diharap akan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan agama masyarakat setempat dan masyarakat umum untuk manfaat diri, masyarakat dan negara. Antara lain pengajaran yang dapat diambil daripada ceramah tersebut ialah: (Sila ikuti sesi ceramah Yang Berhormat Menteri di Masjid berkenaan dan rujuk teks penuh kertas ceramah Yang Berhormat Menteri).

Setelah selesai, majlis diselajurkan dengan penyampaian derma kepada 7 orang ibu tunggal dan 46 orang anak-anak yatim dan 2 orang-orang yang berkeperluan yang bermastautin di Mukim Seria, semuanya berjumlah sebanyak 55 orang. 

Majlis diteruskan lagi dengan Bacaan Tahlil dan Doa Tahlil diikuti Doa Selamat.

Seterusnya majlis diakhiri dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai apabila azan Maghrib berkumandang dan diikuti dengan menunaikan Solat Fardhu Maghrib berjemaah.

Hadir di majlis berkenaan nanti ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Major Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Pegawai-Pegawai Daerah; Ketua-Ketua Jabatan; Pegawai-Pegawai Kanan; Penghulu dan Ketua Kampung; Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatannya serta penduduk mukim dan kampung dan golongan belia dan remaja di daerah-daerah berkenaan.

Last Updated on Monday, 31 October 2011 15:34  

Galeri